Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Siri 1- Sejarah Lambang Bulan Sabit Merah
11:52Pada tahun 667 sebelum masihi, bangsa Yunani telah mengasaskan sebuah kota. Ketika itu mereka diterangi cahaya bulan. Nama kota itu diberi nama Byzantium yang diambil sempena nama seorang tokoh dalam mitologi Yunani iaitu Byzas. Bangsa Yunani kemudiannya telah memberikan simbol bulan sabit sebagai dedikasi kepada Dewi Arthemis (Dewi Diana) yang menggunakan simbol bulan sabit.
Pada tahun 330 masihi, kota tersebut telah ditakluk oleh bangsa Rom dibawah Maharaja Constantine. Walaubagaimanapun, simbol bulan sabit tetap menjadi lambang kota tersebut kerana orang Rom sangat mengagumi budaya Yunani. Setelah penaklukan itu, mereka telah menyerap agama Yunani termasuk penyembahan kepada Arthemis.
Sejarah Bulan Sabit Maahad Muhammadi Lelaki
11:09Sejarah Bulan Sabit Merah Maahad Muhammadi Lelaki (Pasukan Pertolongan Cemas)
Sejarah Penubuhan
Pasukan ini telah ditubuhkan pada tahun 1949. Ia diketuai oleh Wan Muhammad bin Wan Osman yang berasal dari daerah Yala, Thailand. Pada permulaannya pasukan ini telah bergabung dengan pasukan negeri. Pada 11 Ogos 1950, Pasukan Bulan Sabit Merah Jame’ Merbau Al-Ismaili (Maahad Muhammadi) ditubuhkan dengan rasminya dan dikenali sebagai Pasukan Division 4. Sejak ditubuhkan, badan ini telah banyak menempa sejarah kegemilangannya, baik dalam meningkat imej serta memperkenalkan Maahad Muhammadi kepada masyarakat, mahupun dalam memberi khidmat sukarela dalam bentuk pertolongan sementara di dalam atau di luar negeri.
Secebis Kisah Kegemilangan Lalu
Pasukan ini sentiasa bersedia memeberi pertolongan dalam pelbagai kemalangan yang sering berlaku di dalam sekolah ini. Mereka juga tidak ketinggalan dalam mengambil bahagian dalam perbarisan pekhidmatan di hari ulang tahun keputeraan al-Sultan Kelantan, perayaan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, perayaaan-perayaan hari kebangsaan dan hari-hari yang bersejarah serta hari temasya sukan di peringkat sekolah, jajahan atau negeri. Pada 11 Ogos 1952, jam 5.15 petang, istiadat pembahagian sijil kepada 33 orang ahli yang berjaya dalam ujian oleh Sir Richard, ketua St. John Negeri Kelantan diadakan. Majlis ini juga dihadiri olehTuan Pegawai Agama, Majlis Agama Islam Kelantan serta penyelia dan pegawai pasukan pertolongan cemas. Dalam majlis ini Wan Ahmad Shah dianugerahkan pangkat sarjan, dan dua orang lagi dianugerahkan pangkat koperal iaitu Wan Mahmood Bin Wan Ishak dan Che Mahmood.
Pada 1 Februari 1953, satu majlis baru diadakan. Ia dihadiri oleh Suri Raja (Setiausaha St. John Ambulance ) dan Mr. Lee. Pada hari itu Suri Raja dan Mr. Lee mengesyorkan kepada pihak sekolah supaya mengadakan satu bilik pertolongan cemas. Ekoran daripada itu, sebuah bilik pertolongan cemas di Maahad Muhammadi diadakan. Ia dilengkapi dengan almari, kerusi, meja, katil, tilam dan lain-lain. Bermula dari sinilah, pasukan ini mula dikenali di seluruh negeri. Mereka telah melebarkan khidmat mereka di merata-rata tempat sekitar Kota Bharu. Pada 23 April 1953, pasukan ini ditugaskan berkawal di hari perayaan ibu bapa di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian.
Pada 7 Mac 1957, satu mesyuarat agung telah diadakan untuk memilih jawatankuasa kemajuan pasukan ini. Seramai 32 orang ahli datang pada hari itu termasuk 14 orang guru dengan sebuah jawatankuasa baru dipilih.
Penaung : Ust. Hj. Wan Abd. Rahman Daud Al-Makki (Mudir)
Pengerusi : Cikgu Wan Ibrahim bin Wan Mustapha
Setiausaha : Ust. Hj. Abd. Rahman bin Wan Salleh
Bendahari : Ust. Hassan bin Idris
Penjaga Stor : Abd. Aziz bin Awang
Ahli : 1- Sulaiman bin Hj. Salleh
2- Harun bin Abd. Aziz
Pada tahun 1963, pertubuhan ini mempunyai ahli berjumlah 40 orang yang berkelulusan, cekap, terlatih, berjiwa dinamis dan selalu bersikap inisiatif dalam mempertarungkan tenaga mereka dalam menuju hasrat murni memajukan badan ini. Pada tahun 1965, pasukan ini telah mempunyai ahli beruniform seramai 27 orang, tamat latihan 32 orang dan ahli baru 50 orang, semuanya berjumlah 109 orang. Pada tahun 1966, pasukan ini telah mempunyai kira-kira 150 orang ahli yang terlatih.
Pada 7 Oktober 1966, satu pertandingan kecekapan telah diadakan di ibu pejabat St. John Kota Bharu. Pasukan ini telah berjaya dalam pertandingan tersebut dan seramai 5 orang ahlinya telah terpilih untuk mewakili Kelantan di peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur.
Pada tahun 1967, pasukan ini telah mengorak langkah setapak lagi ke hadapan dalam kegiatannya. Selain daripada tugas-tugas biasa dan mengambil bahagian dalam perbarisan-perbarisan rasmi, mereka juga terlibat dalam menolong mangsa-mangsa banjir besar yang pernah melanda Kelantan. Mereka juga turut serta dalam memberi pertolongan di pusat-pusat kesihatan dalam usaha mencegah wabak taun dan demam kepialu. Pada tahun 1970, pasukan ini telah menukar daripada bilik pertolongan cemas sedia ada kepada bilik pertolongan cemas yang lebih besar dan selesa. Pada tahun yang sama, pasukan ini telah menubuhkan pasukan wanita pertama dengan keahliannya seramai 30 orang. Pasukan ini dikenali sebagai pasukan 23 dengan ketumbukan 6. Pada tahun ini juga mereka telah mengambil bahagian dalam upacara sukan tahunan Maahad Muhammadi, memberi perkhidmatan dalam acara sambutan YB. Tan Sri Saadon bin Hj. Zubir di Manik Urai, Kuala Krai, pada 14 Mac 1970 dan lain-lain.
Pada tahun 1972,pasukan ini tidak ketinggalan dalam menghadiri khemah-khemah kerja belia, pesta-pesta sukan, rayuan hari bendera dan lain-lain tempat keramaian serta memasuki pertandingan ibu pejabat. Pada keseluruhannya pasukan ini mendapat naib johan. Pada 30 Julai 1973, pasukan ini telah ke Kuala Terengganu untuk memberi perkhidamatan dalam Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Atas Pantai Timur (MSSUA) dan pada 24 Ogos 1973, menyertai kempen mencegah demam denggi di seluruh negeri Kelantan. Pada tahun 1974, di samping tugas-tugas biasa, pasukan ini telah membuka kelas bimbingan pertolongan cemas di Maahad Muhammadi. Pada tahun ini juga pihak sekolah telah memberikan satu bilik khas kepada pasukan perempuan yang dilengkapi segala kemudahan. Oleh kerana kecekapan dan kebolehan yang ditunjukkan oleh pasukan ini dengan pasukan lelaki berjaya menjadi johan seluruh Kelantan dan pasukan wanita yang menjadi naib johan. Seramai 3 orang bahagian lelaki iaitu Wan Muhammad Zain bin Wan Mamat, Ariffin bin Yassin dan Roihan bin Ismail dipilih mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 April 1975. Mereka bejaya menjadi naib johan dalam bahagian kawad berusong. Dengan ini, nama Maahad Muhammadi dikenali di seluruh negara. Pada tahun 1978, pasukan ini telah berjaya mengeluarkan buku panduan pertolongan cemas untuk memudahkan ahli baru mengikuti kursus. Pada tahun 1980, pasukan ini sekali lagi dipilih mewakili Kelantan ke Kuala Lumpur pada 20 April 1980. Pada tahun ini juga pasukan ini terlibat secara langsung dalam perayaan kemahkotaan (pertabalan) Al-Sultan Kelantan pada 30 Mac 1980 hingga 2 April 1980.
Pada tahun 1982, pasukan ini telah diamanahkan bertugas di Expo Pendidikan Negeri Kelantan serta bertugas di Kursus Tata Negara Zon Timur di Sek. Men. Sultan Ismail Petra (SMIP), Kota Bharu. Pada tahun 1983, mereka terlibat dalam membasmi wabak taun yang melanda negeri ini. Pada tahun ini juga mereka ditugaskan menjaga keselamatan bakal haji di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Pada tahun yang sama, seramai 4 orang ahlinya telah dinaikkan pangkat berbanding hanya 2 orang pada tahun 1982, iaitu:
1.Zainuddin bin Deraman daripada Lans Koperal kepada Koperal
2.Abd. Razak bin Abdullah daripada Prebet ke Lans Koperal
3.Abd. Aziz bin Hassan daripada Prebet kepada Lans Koperal
4.Rusdian bin Hassan daripada Prebet kepada Lans Koperal
1986, pasukan ini telah dikenali dengan Pasukan Bulan Sabit Merah. Pada 1987, pasukan ini telah menyertai perkhemahan yang diadakan di Nilam Puri dan perkhemahan dan menjadi johan dalam pertandingan kawad dan pintu gerbang terbaik. Pada 22 Mac 1990, seramai 20 orang telah menyertai perkhemahan PBSM di Pasir Mas dan pasukan in telah mendapat tempat kedua. Pada 30 Mei 1991, mereka telah menyertai satu pertandingan di Nilam Puri, mereka mendapat tempat pertama dalam pertandingan kawad kaki dan pertolongan cemas yang telah diadakan pada 27 Julai 1991.
Mata Rantai Penerus Kegemilangan Lalu
Peranan PBSM Maahad Muhammadi dalam memancarkan cahaya kegemilangan Maahad Muhammad di persada negara tidak dapat dihitung lagi. Sebagai generasi yang mewarisi amanah dalam mengekalkan prestasi persatuan bukanlah sesuau yang mudah. Generasi tahun 2007 telah sekali lagi berjaya mengekalkan kegemilangan PBSMMML dengan memenangi pertandingan kawad kaki peringkat sekolah di samping menjadi naib johan peringkat Zon 1 MASSAK.
Apa yang lebih membanggakan seramai lima orang Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bulan Sabit Merah Maahad Muhammadi Lelaki memperoleh sijil penghargaan daripada Tengku Mahkota Kelantan yang diadakan di Balai Islam Lundang iaitu:
1. Staff Sarjan Mohd Farezshafiq Mohd Yeen
2. Sarjan Muhammad Adli Adlan Zuhan
3. Sarjan Abdul Halim Sidqi bin Yusoff
4. Sarjan Mohd Faiq Abdul Rahim
5. Koperal Ahmad Zakirin Zakaria
Tahun 2008 merupakan tahun yang paling membanggakan Persatuan Bulan Sabit Merah Maahad Muhammadi Lelaki kerana Ketua Pelajar Maahad Muhammadi 2008, Mohd Zaim Zamsuri lahir daripada tarbiah PBSMMML. Bahkan pengerusi pada tahun tersebut, Muhammad Syakirin Yuslan juga merupakan Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar pada tahun tersebut. Ini membuktikan tarbiyah yang dibawa dalam PBSMMML mampu melahirkan pemimpin-pemimpin hebat, membentuk jati diri insan yang hakiki.
Tahun-tahun berikutnya PBSMMML masih tidak ketandusan pemimpin-pemimpin berbakat, bahkan masih mampu merangkul pelbagai pencapaian. PBSMMML dinobatkan sebagai juara pertandingan kawad kaki peringkat sekolah pada tahun 2009, berkat usaha dan doa setiap ahli serta senior yang banyak menyumbang jasa kepada PBSMMML. Bahkan, PBSMMML juga menjuarai pertandingan kawad kaki peringkat zon 1 yang diadakan keesokan hari selepas pertandingan peringkat sekolah.
2009 menjadi sejarah bagi PBSMMML kerana setelah sekian lama, persatuan ini berjaya memasuki pertandingan MASSAK yang diadakan di Dataran Budaya Negeri Kelantan.
Persatuan Bulan Sabit Merah masih berada dalam kalangan pasukan beruniform yang terbaik pada 2010 kerana dinobatkan sebagai naib johan dalam pertandingan kawad kaki peringkat sekolah. Walaupun begitu, PBSMMML tidak pernah berputus asa dalam memperbaiki segala kelemahan agar sentiasa menjadi yang terbaik. PBSMMML masih lagi meneruskan khidmat baktinya apabila menjadi petugas kecemasan di Pesta Sukan MASSAK 2010 serta pertandingan kawad kaki peringkat MASSAK 2010.
Satu Cabaran Meneruskan Kegemilangan
Tahun 2011 merupakan tahun yang mencabar bagi para pimpinan baru BSMMML. Cabaran tersebut ialah untuk menjadikan Persatuan Bulan Sabit Merah Maahad Muhammadi Lelaki yang terbaik antara yang terbaik. Segala kelemahan pada tahun-tahun lalu mesti dibaiki dan diislahkan. Menjadi tanggungjawab pimpinan 2011 untuk manyahut cabaran ini kerana kita tiada pilihan kedua untuk mengelakkan diri setelah menjadi pimpinan. Pencapaian generasi terdahulu menjadi satu tanda aras bagi kami mengukur prestasi kami.
Satu lagi cabaran yang mesti disahut oleh kami ialah menjadi satu agen dakwah dan tarbiah kepada pelajar MML dan masyarakat sekitar. BSMMML 2011 akan berusaha memberi tsaqafatul islamiah yang menyeluruh kepada ahli-ahlinya. BSMMML juga bertanggungjawab dalam menaikkan kembali kegemilangan Maahad Muhammadi Lelaki agar Maahad Muhammadi Lelaki kembali disegani dan dihormati di mata masyarakat.
Cabaran-cabaran ini mesti disahut dan diintrepetasikan pada tahun 2011. Harapan semua guru, pelajar, ahli, masyarakat dan agama tergalas di bahu. Hidup berpesatuan bukanlah untuk berseronok, bahkan berpesatuan ialah untuk kita bersusah-payah bersama-sama dalam merealisasikan objektif persatuan.
Semoga keberkatan daripada Allah, doa-doa daripada semua pihak menemani kami dan menjadi pembakar semangat dalam memperjuangkan segala objektif persatuan kami. Kami memohon kepada ALLAH agar segala yang dicita-citakan dipermudahkan oleh-Nya untuk kami memetiknya pada tahun hadapan.
و الله أعلم بالصواب